|
Berkenalan dengan Para imam mazhab. Tidaklah sempurna
kefahaman kita tentang mazhab-mazhab Islam yang empat jika kita tidak meninjau
terlebih dahulu riwayat hidup para imam mazhab tersebut. Bab ini dimulakan
dengan sejarah hidup Imam Abu Hanifah kerana beliau adalah yang terawal di
antara mereka. Imam Abu Hanifah [80H/699M-150H/767M] Imam Abu Hanifah atau nama sebenarnya Nu'man bin Tsabit bin Zhuthi' lahir pada tahun
80H/699M di Kufah, Iraq, sebuah bandar yang sudah sememangnya terkenal
sebagai pusat ilmu Islam pada ketika itu. Ianya diasaskan oleh ‘Abd Allah ibn
Mas‘ud radhiallahu ‘anh (32H/652M), seorang sahabat zaman Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Ayahnya
seorang pedagang besar, sempat hidup bersama ‘Ali bin Abi Talib radhiallahu
‘anh. Imam Abu Hanifah sekali-sekala ikut serta dalam urusniaga ayahnya
akan tetapi minatnya yang lebih besar ialah ke arah membaca dan menghafal Al Qur'an.
Imam Abu Hanifah pada
satu hari telah berjumpa dengan seorang tokoh agama yang masyhur pada ketika
itu bernama al-Sya’bi. Melihatkan kepintaran dan kecerdasan luar biasa yang
terpendam dalam Imam Abu Hanifah, al-Sya'bi menasihatkan beliau agar lebih
banyak mencurahkan usaha ke dalam bidang ilmu-ilmu Islam. Dengan nasihat dan
dorongan al-Sya'bi, Imam Abu Hanifah mula menceburkan diri secara khusus mempelajari ilmu-ilmu Islam. Imam Abu Hanifah mula
belajar dengan mendalam ilmu-ilmu qiraat, ilmu bahasa Arab, ilmu kalam
dan lain-lain. Akan tetapi bidang ilmu yang paling diminatinya ialah ilmu
hadis dan fiqh. Beliau banyak meluangkan masa dan tenaga mendalaminya. Imam Abu Hanifah meneruskan pembelajarannya dengan
bergurukan kepada al-Sya’bi dan beberapa tokoh ilmuan lain di Kufah. Menurut
riwayat, jumlah gurunya di Kufah sahaja berjumlah 93 orang. Beliau kemudiannya
berhijrah ke bandar Basrah di Iraq, untuk berguru bersama Hammad bin Abi
Sulaiman, Qatadah dan Shu’bah. Setelah sekian lama berguru dengan Shu’bah yang
pada ketika itu terkenal sebagai Amir
al-Mu’minin fi Hadith (Pemimpin umat dalam bidang hadith), beliau diizinkan
gurunya untuk mula mengajar hadith kepada orang ramai. Berkata Shu'bah: “Sebagaimana aku
ketahui dengan pasti akan kesinaran cahaya matahari, aku juga ketahui dengan
pasti bahawa ilmu dan Abu Hanifah adalah sepasangan bersama.” Imam Abu Hanifah tidak
hanya berpuas hati dengan pembelajarannya di Kufah dan Basrah di Iraq. Beliau
kemudiannya turun ke Mekah dan Madinah untuk menuntut ilmu. Di sana beliau
duduk berguru kepada ‘Atha’ bin Abi Rabah. Kemudiannya Imam Abu Hanifah duduk pula bersama Ikrimah, seorang
tokoh besar agama di Mekah yang juga merupakan anak murid kepada ‘Abd Allah ibn
‘Abbas, ‘Ali bin Abi Talib ra, Abu Hurairah ra dan ‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu
‘anhum. Kehandalan Imam Abu Hanifah dalam ilmu-ilmu hadith dan fiqah
diiktiraf oleh Ikrimah sehingga beliau kemudiannya membenarkan Imam Abu Hanifah
menjadi guru kepada penduduk Mekah. Imam Abu Hanifah
kemudiannya meneruskan pengajiannya di Madinah bersama Baqir dan Ja’afar
al-Siddiq. Kemudiannya beliau duduk bersebelahan dengan Imam Malik bin Anas,
tokoh besar kota Madinah ketika itu. Walaupun Imam Abu Hanifah 13 tahun lebih
tua daripada Imam Malik, ini tidak menghalangnya untuk turut serta belajar.
Apabila guru kesayanganya Hammad meninggal dunia di Basrah, Iraq, pada tahun
120H/738M, Imam Abu Hanifah telah diminta untuk mengganti kedudukan Hammad
sebagai guru dan sekaligus tokoh agama di Basrah. Melihatkan tiada siapa lain
yang akan meneruskan perjuangan Hammad, Imam Abu Hanifah bersetuju kepada
jawatan tersebut. Mulai di sinilah Imam
Abu Hanifah mengajar dan menjadi tokoh besar terbaru dunia Islam. Orang ramai
dari serata pelusuk dunia Islam datang untuk belajar bersamanya. Disamping
mengajar, Imam Abu Hanifah ialah juga seorang pedagang dan beliau amat bijak
dalam mengadili antara dua tanggungjawabnya ini sebagaimana terang anak
muridnya al-Fudail ibn ‘Iyyad: “Adalah Abu Hanifah
seorang ahli hukum, terkenal dalam bidang fiqh, banyak kekayaan, suka
mengeluarkan harta untuk sesiapa yang memerlukannya, seorang yang sangat sabar
dalam pembelajaran baik malam atau siang hari, banyak beribadat pada malam
hari, banyak berdiam diri, sedikit berbicara terkecuali apabila datang
kepadanya sesuatu masalah agama, amat pandai menunjuki manusia kepada kebenaran
dan tidak mahu menerima pemberian penguasa.” Pada zaman
pemerintahan Abbasid, Khalifah al-Mansur telah beberapa kali meminta beliau
menjawat kedudukan qadi kerajaan. Imam Abu Hanifah berkeras menolak tawaran
itu. Jawapan Abu Hanifah membuatkan al-Mansur marah lalu dia menghantar Imam Abu
Hanifah ke penjara. Akan tetapi tekanan daripada orang ramai menyebabkan
al-Mansur terpaksa membenarkan Imam Abu Hanifah meneruskan pengajarannya
walaupun daripada dalam penjara. Apabila orang ramai mula mengerumuni penjara
untuk belajar bersama Imam Abu Hanifah, al-Mansur merasakan kedudukannya mula
tergugat. al-Mansur merasakan Iamam Abu Hanifah perlu ditamatkan hayatnya
sebelum terlambat. Akhirnya Imam Abu
Hanifah meninggal dunia pada bulan Rejab 150H/767M ketika di dalam penjara
disebabkan termakan makanan yang diracuni orang. Dalam riwayat lain disebutkan
bahawa beliau dipukul dalam penjara sehingga mati. Kematian tokoh ilmuan Islam
ini dirasai oleh dunia Islam. Solat jenazahnya dilangsungkan 6 kali, setiapnya
didirikan oleh hampir 50,000 orang jamaah. Abu Hanifah mempunyai beberapa orang
murid yang ketokohan mereka membolehkan ajarannya diteruskan kepada masyarakat.
Antara anak-anak murid Imam Abu Hanifah yang ulung ialah Zufar (158H/775M), Abu
Yusuf (182H/798M) dan Muhammad bin Hasan al-Syaibani (189H/805M). Imam Malik bin Anas Imam Malik bin Anas
lahir di Madinah pada tahun 93H/711M. Beliau dilahirkan di dalam sebuah kota
yang merupakan tempat tumbuh dan berkembangnya Islam serta berkumpulnya
generasi yang dididik oleh para sahabat Rasulullah sallallahu ‘alaihi
wasallam, radhiallahu ‘anhum. Sejarah keluarganya juga ada hubungkait
dengan ilmu Islam dengan datuknya sendiri seorang perawi dan penghafal hadis
yang terkemuka. Pakciknya juga, Abu Suhail Nafi’ adalah seorang tokoh hadis
kota Madinah pada ketika itu dan dengan beliaulah Imam Malik bin Anas
mula mendalami ilmu-ilmu agama, khususnya hadith. Abu Suhail Nafi’ ialah
seorang tabi‘in yang sempat menghafal
hadith daripada ‘Abd Allah ibn ‘Umar, ‘A'isyah binti Abu Bakar, Umm Salamah,
Abu Hurairah dan Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu ‘anhum. Selain Nafi’, Imam Malik bin Anas juga duduk berguru dengan Ja'afar al-Siddiq,
cucu kepada al-Hassan, cucu Rasulullah sallallahu
‘alaihi wasallam. Imam Malik juga duduk belajar di Masjid Nabawi,
Madinah, berguru dengan Muhammad Yahya al-Ansari, Abu Hazim Salmah al-Dinar,
Yahya bin Sa'ad dan Hisham bin ‘Urwah. Mereka ini semua ialah anak murid kepada
sahabat-sahabat Rasulullah sallallahu
‘alaihi wasallam. Suasana kehidupan Imam Malik bin Anas di Madinah
yang ketika itu dipenuhi dengan para tabi‘in
amatlah menguntungkannya. Para tabi‘in
ini adalah mereka yang sempat hidup bersama sahabat-sahabat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Mereka
sempat belajar, mendengar hadith dan mengamalkan perbuatan para sahabat secara
terus. Inilah antara sebab kenapa Imam Malik bin Anas tidak pernah
meninggalkan kota Madinah kecuali apabila pergi menunaikan ibadat hajinya. Imam Malik bin Anas
kemudiannya mengambilalih sebagai tokoh agama di Masjid Nabawi, Madinah.
Ajarannya menarik sejumlah orang ramai daripada pelbagai daerah dunia Islam.
Beliau juga bertindak sebagai mufti Madinah pada ketika itu. Imam Malik
juga ialah antara tokoh yang terawal dalam mengumpul dan membukukan hadith-hadith
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam
di dalam kitabnya Al Muwattha’. Kitabnya
ini menjadi hafalan dan rujukan orang ramai sehinggakan ia pernah dikatakan
oleh Imam al-Syafi‘e sebagai: “Tidak
wujud sebuah buku di bumi yang paling hampir kepada al-Qur'an melainkan kitab
Imam Malik ini.“ Antara tokoh besar yang duduk belajar bersama Imam Malik ialah Imam
Abu Hanifah dari Kufah. Selain itu diriwayatkan bahawa serami 1,300
tokoh-tokoh lain lagi yang duduk bersama menuntut ilmu bersama Imam Malik
bin Anas di Masjid Nabawi. Antaranya termasuklah Muhammad bin Idris,
yang kemudiannya terkenal dengan gelaran Imam al-Syafi‘e. Ketinggian
ilmu Imam Malik bin Anas pernah diungkap oleh Imam Ahmad bin Hanbal
sebagai: “Malik
adalah penghulu dari para penghulu ahli ilmu dan dia pula seorang imam dalam
bidang hadith dan fiqah. Siapakah gerangan yang dapat menyerupai Malik?” Imam Malik pernah
dihukum oleh gabenor Madinah pada tahun 147H/764M kerana telah mengeluarkan
fatwa bahawa hukum talak yang cuba dilaksanakan oleh kerajaan Abbasid sebagai
tidak sah. Kerajaan Abbasid ketika itu telah membuat satu fatwa sendiri bahawa
semua penduduk perlu taat kepada pemimpin dan barangsiapa yang enggan akan
terjatuh talak ke atas isterinya! Memandangkan
rakyat yang lebih taatkan para ulama' daripada pemimpin, pemerintah Abbasid
telah memaksa Imam Malik untuk mengesahkan fatwa mereka. Imam Malik
enggan malahan mengeluarkan pula fatwa menyatakan bahawa talak sedemikian tidak
sah (tidak jatuh talaknya). Imam Malik ditangkap dan dipukul oleh
gabenor Madinah sehingga tulang bahunya patah dan terkeluar daripada kedudukan
asalnya. Kecederaan ini amatlah berat sehinggakan beliau tidak lagi dapat
bersolat dengan memegang kedua tangannya di dada, lalu dibiarkan sahaja tangannya
terkulai di tepi badannya. Imam Malik
kemudiannya dibebaskan dan beliau kembali mengajar di Madinah sehinggalah
beliau meninggal dunia pada 11 Rabiul-Awal tahun 179H/796M. Di antara anak-anak
murid beliau yang masyhur ialah ‘Abd al-Rahman bin al-Qasim al-Tasyri
(191H/807M), Ibn Wahhab Abu Muhammad al-Masri (199H/815M) dan Yahya bin Yahya
al-Masmudi (234H/849M). Imam al-Syafi‘e 150H/767M - 204H/820M] Imam al-Syafi‘e lahir di Gaza, Palestin pada tahun 150H/767M. Nama
sebenarnya ialah Muhammad bin Idris al-Syafi‘e. Beliau mempunyai pertalian
darah Quraish dan hidup tanpa sempat melihat ayahnya. Pada umur 10 tahun ibunya
membawanya ke Mekah untuk ibadah Haji dan selepas itu beliau tetap berada di
sana menuntut ilmu. Di Mekah al-Syafi‘e memulakan perguruannya kepada Muslim
bin Khalid al-Zanji, mufti Kota Mekah
ketika itu.
Kitab ilmu yang paling terkemuka pada ketika itu ialah al-Muwattha' karangan Malik bin Anas dan al-Syafi‘e dalam usia
mudanya 15 tahun telahpun menghafal keseluruhan kitab tersebut. al-Syafi‘e
kemudiannya berhijrah ke Madinah untuk berguru dengan penulis kitab itu
sendiri. Ketika itu al-Syafi‘e berumur 20 tahun dan beliau terus duduk bersama
Malik sehinggalah kematiannya pada tahun 179H/796M. Ketokohan al-Syafi‘e
sebagai murid terpintar Malik bin Anas mulai diiktiraf ramai. al-Syafi‘e
mengambil alih sebentar kedudukan Malik bin Anas sebagai guru di Masjid Nabawi
sehinggalah beliau ditawarkan kedudukan pejabat oleh Gabenor Yaman. Jawatan
al-Syafi‘e di Yaman tidak lama kerana beliau telah difitnah sebagai pengikut
Mazhab Syi‘ah. Selain itu pelbagai konspirasi lain dijatuhkan ke atasnya
sehinggalah beliau dirantai dan dihantar ke penjara Baghdad, pusat pemerintahan
Dinasti Abbasid ketika itu. al-Syafi‘e dibawa menghadap ke Khalifah Harun al-Rashid dan beliau berjaya
membuktikan kebenaran dirinya. Kehandalan serta kecekapan al-Syafi‘e membela
dirinya dengan pelbagai hujah agama menyebabkan Harun tertarik kepadanya.
al-Syafi‘e dibebaskan dan dibiarkan bermastautin di Baghdad. Di sini al-Syafi‘e
telah berkenalan dengan anak murid Abu Hanifah dan duduk berguru bersama mereka,
terutamanya Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani. Suasana ini memberikan kelebihan
yang penting bagi al-Syafi‘e, iaitu beliau berkesempatan untuk belajar dan
membanding antara dua ajaran Islam: ajaran Malik bin Anas dan ajaran Abu
Hanifah. Pada tahun 188H/804M, al-Syafi‘e berhijrah ke Mesir. Sebelum itu beliau singgah
sebentar di Mekah dan di sana beliau diberi penghormatan dan dipelawa memberi
kelas pengajian. al-Syafi‘e kini mula diiktiraf sebagai seorang imam dan beliau
banyak meluahkan usaha untuk cuba menutup jurang perbezaan antara ajaran Malik
bin Anas dan Abu Hanifah. Usahanya ini tidak disambut baik oleh penduduk Mekah
kerana kebiasaan mereka kepada ajaran Malik. Pada tahun 194H/810M, al-Syafi‘e kembali semula ke Baghdad dan beliau
dipelawa untuk memegang jawatan qadi bagi Dinasti Abbasid. Beliau menolak dan
hanya singgah selama 4 tahun di Baghdad. al-Syafi‘e kemudian kembali ke Mesir
dan memusatkan ajarannya di sana. Daud bin ‘Ali pernah ditanya akan kelebihan
al-Syafi‘e berbanding tokoh-tokoh lain pada ketika itu, maka beliau menjawab: al-Syafi‘e mempunyai beberapa
keutamaan, berkumpul padanya apa yang tidak terkumpul pada orang lain. Dia
seorang bangsawan, dia mempunyai agama dan i'tiqad yang benar, seorang yang
sangat murah hati, mengetahui hadis sahih dan hadis daif, nasikh, mansukh,
menghafal al-Qur'an dan Hadis, perjalanan hidup para Khulafa' al-Rashidun dan
amat pandai mengarang. Dalam usahanya untuk cuba menutup jurang perbezaan antara ajaran Malik bin
Anas dan Abu Hanifah, al-Syafi‘e menghadapi banyak tentangan daripada
pengikut-pengikut Mazhab Maliki yang taksub kepada guru mereka. Pada satu malam
dalam perjalanan balik ke rumah dari kuliah Maghribnya di Mesir, al-Syafi‘e
telah dipukul sehingga menyebabkan kematiannya. Pada ketika itu al-Syafi‘e juga
sedang menghadapi penyakit buasir yang agak serius. al-Syafi‘e meninggal dunia pada 29 Rejab tahun 204H/820M di Negeri Mesir.
Beliau meninggalkan kepada dunia Islam sebuah kitab yang paling agung dalam
bidang usul fiqh berjudul al-Risala. Kitab ini adalah yang terawal dalam
menyatakan kaedah-kaedah mengeluarkan hukum daripada sesebuah nas al-Qur’an dan
al-Sunnah. Selain itu al-Syafi‘e juga meninggalkan kitab fiqhnya yang masyhur
berjudul al-Umm. Ajaran al-Syafi‘e diteruskan oleh
beberapa anak muridnya yang utama seperti Abu Yakub al-Buwayti (231H/846M),
Rabi’ bin Sulaiman al-Marali (270H/884M) dan Abu Ibrahim bin Yahya al-Muzani
(274H/888M). Imam Ahmad bin Hanbal [164H/781M -241H/856M] Imam Abu ‘Abd Allah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal dilahirkan di Baghdad, Iraq, pada tahun
164H/781M. Ayahnya seorang mujahid Islam dan meninggal dunia pada umur muda 30
tahun. Ahmad kemudiannya dibesarkan oleh ibunya Saifiyah binti Maimunah. Imam Ahmad
bin Hanbal menghafal al-Qur’an sejak kecil dan pada umurnya 16 tahun dia sudah
menjadi penghafal hadis yang terkenal. Imam Ahmad bin Hanbal meneruskan
pengajian hadisnya dengan sekian ramai guru dan beliau pada akhir hayatnya
dijangkakan telah menghafal lebih daripada sejuta hadis termasuk barisan
perawinya. Pada tahun 189H/805M Imam Ahmad bin Hanbal berhijrah ke Basrah dan tidak
lama kemudian ke Mekah dan Madinah untuk menuntut ilmu. Di sana beliau sempat
duduk berguru dengan Imam al-Syafi‘e. Sebelum itu guru-gurunya yang masyhur
ialah Abu Yusuf, Husain ibn Abi Hazim al-Washithi, ‘Umar ibn ‘Abd Allah ibn
Khalid, ‘Abd al-Rahman ibn Mahdi dan Abu Bakar ibn ‘Iyasy. Pada tahun 198H Imam
Ahmad bin Hanbal ke negeri Yaman pula untuk berguru dengan ‘Abd al-Razzaq ibn
Humam, seorang ahli hadith yang besar ketika itu, terkenal dengan kitabnya yang
berjudul al-Musannaf. Dalam perjalanannya ini Imam Ahmad mula menulis
hadith-hadith yang dihafalnya setelah sekian lama. Imam Ahmad bin Hanbal kembali semula ke Baghdad dan mula mengajar.
Kehebatannya sebagai seorang ahli hadith dan pakar fiqah menarik perhatian
orang ramai dan mereka mula mengerumuninya untuk belajar bersama. Antara anak
muridnya yang kemudian berjaya menjadi tokoh hadith terkenal ialah al-Bukhari,
Muslim dan Abu Daud. al-Qasim ibn Salam pernah berkata: “Ahmad bin Hanbal adalah orang yang paling ahli
dalam bidang hukum dan aku tidak melihat ada orang yang lebih mengetahui
tentang al-Sunnah selain dia. Dia tidak pernah bersenda gurau, dia selalu
berdiam diri, tidak memperkatakan apa-apa selain ilmu.” Imam Ahmad bin Hanbal pernah mengalami pengalaman hidup dalam penjara kerana kekerasannya
menentang Mazhab Mu’tazilah yang diterima oleh pemerintah Abbasid
ketika itu. Mereka (pemerintah) memaksa Imam Ahmad mengesahkan mazhab baru
tersebut. Imam Ahmad enggan dan ini menyebabkan beliau dirotan dalam penjara
sehingga tidak sedarkan diri. Akibat ketegasan Imam Ahmad serta tekanan daripada para orang ramai
akhirnya menyebabkan pihak pemerintah Abbasid terpaksa membebaskan beliau. Imam
Ahmad kemudian meneruskan pengajarannya kepada orang ramai sehinggalah
kematiannya pada tahun 241H/856M. Imam Ahmad bin Hanbal meninggalkan kepada
dunia Islam kitab hadithnya yang terkenal iaitu al-Musnad yang mengandungi lebih kurang 30,000 hadith Rasulullah sallallahu
‘alaihi wasallam dan atsar para sahabat radhiallahu ‘anhum. Dua
orang anaknya yang utama meneruskan perjuangan ayah mereka, iaitu ‘Abd Allah
bin Ahmad dan Salih bin Ahmad. Demikianlah tamatnya secara ringkas riwayat hidup para imam empat mazhab
yang masyhur itu. Wallahu'alam |
| Leave a Comment: |